Friday, July 03, 2009

falsafah pendidikan kebangsaan

1.0 FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Kemajuan sesebuah Negara adalah bergantung kepada sistem pendidikan selain daripada kestabilan politik, ekonomi, kebudayaan dan sistem nilai masyarakat. Ketiadaan dasar pendidikan yang sempurna dan mantap dengan falsafah yang jelas, sistem pendidikan adalah tidak sempurna sifatnya kerana mempunyai pelbagai bentuk dan corak yang tidak berfokus. Dasar-dasar yang dibuat dalam sesuatu pendidikan perlu merujuk kepada asasnya iaitu falsafah pendidikan. Falsafah menjadi teras kepada sistem pendidikan kerana terkandung di dalamnya matlamat yang hendak dicapai; kaedah pelaksanaan pendidikan yang akan digunakan; ciri-ciri yang hendak dibentuk; dan liputan yang terangkum dalam sistem pendidikan.

Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani Φιλοσοφία philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas dan tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran. Falsafah dapat dikategorikan 5 bidang berdasarkan persoalannya, iaitu metafizik iaitu bidang falsafah ini memikirkan tentang kewujudan. Seterusnya epistemologi. Bidang falsafah ini memikirkan tentang ilmu pengetahuan. Etika pula bermaksud memikirkan tentang kemoralan manusia. Logik adalah satu bidang falsafah yang mengkaji penaakulan manusia. Bidang yang terakhir ialah estetika.

Falsafah pendidikan lahir setelah melalui proses yang bersinambungan yang selari dengn proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia. Bermula sejak tenah air menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Selepas merdeka, satu jawatankuasa dibentuk, iaitu Jawatankuasa Rahman Talib bertujuan untuk mengkaji Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran 1957 yang digunapakai dalam sistem pendidikan selepas merdeka. Jawatankuasa ini mengeluarkan laporan iaitu Penyata Rahman Talib 1960. kementerian pelajaran pada masa itu banyak berpandu kepada Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, dalam usaha memberi pelajaran kepada rakayat di tanah air. Soal perpaduan kaum adalah menjadi agenda uatam dalam melaksanakan aktiviti pendidikan pada masa itu.

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dengan mantap masih dikekalkan dalam Akta pendidikan 1996. Namun tambahan perkataan telah dilakukan bagi memantapkan lagi falsafah ini. FPN seterunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Berdasarkan kepada FPK, matlamat pendidikan negara dapat ditafsirkan sebagai usaha yang komprehensif dan berterusan untuk melahirkan individu yang bersahsiah baik, berketerampilan seterusnya seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani tanpa mengetepikan kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah tuhan. Matlamat pendidikan Negara dapat dihuraikan sebagai menyedia dan memberi peluang pendidikan kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan asal keturunan. Seterusnya memberi peluang kepada rakyat menuntut ilmu sepanjang hayat selaras dengan konsep pendidikan seumur hidup dan membolehkan mereka melakukan kerja dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari. Konsep pendidikan berdasarkan FPK, adalah suatu usaha yang berterusan dan berlangsung hayat (life long education). Rasionalnya ialah kerana manusia mengalami pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan akan menyebabkan perubahan berlaku pada individu. Usaha adaptasi kepada perubahan perlu kepada latihan kemahiran mehupun pendidikan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan:
‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.’

2.0 ELEMEN-ELEMEN DAN UNSUR-UNSUR PENTING DALAM FALSAFAH PENDIDIDKAN KEBANGSAAN.

Antara elemen-elemen dan unsur-unsur penting yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan kebangsaan ialah pendidikan suatu usaha berterusan. Pendidikan adalah suatu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni. Proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun. Sahsiah yang dibentuk akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Proses pendidikan yang berterusan bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan. Elemen yang kedua ialah perkembangan potensi individu. Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam. Bakat, potensi dan kebolehan seelok-eloknya dicungkil, dipupuk, dikembangkan dan dipertingkatkan. Bakat, potensi dan kebolehan akan menjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling. Pendidikan seharusnya memberi peluang individu untuk berkembang bakat, potensi dan kebolehan mereka. Elemen yang ketiga ialah perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu. Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan; sebaliknya secara berasingan; sebaliknya dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Perkembangan dan peningkatan seelok-eloknya merangkumi empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Seterusnya elemen yang keempat ialah insan yang seimbang dan harmonis. Amat penting bagi individu memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik (rohani) dan kesihatan diri yang baik (jasmani). Keimbangan antara keempat-empat aspek di atas akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain. Individu sedemikian memiliki katahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul. Elemen kelima ialah unsur intelek. Unsur intelek mempunyai kemahiran asas 3M. Membaca, menulis dan mengira. Ianya berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif. Implikasinya, pelajar sanggup berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran. Unsur rohani ialah elemen keenam. Implikasinya, individu akan menyedari dan percaya pada Tuhan selain bersyukur dengan pemberian Tuhan. Individu juga akan berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni. Unsur emosi pula menyebabkan individu mempunyai emosiyang matang dan stabil. Individu itu juga akan memiliki dan memupuk peraaan kasih sayang.

Elemen kelapan ialah unsur jasmani. Individu akan menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal, mengembangkan bakat dan mkemahiran teknikal disamping menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan ialah elemen kesembilan. Elemen ini membantu individu unntuk mengakui tentang kewujudan Tuhan dan menyedari bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh tuhan. Mengamalkan segala ajaran agama yang dianuti. Elemen seterusnya ialah rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan. Cintai ilmu pengetahuan dan berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca. Mempunyai fikiran yang luas dan terbuka.

Rakyat Malaysia yang berketerampilan ialah elemen yang kesebelas. Ianya mempunyai kecekapan dan kompetensi diri dan berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna. Individu juga akan berpandangan jauh dan berinisiatif. Seterusnya ialah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab iaitu boleh dipercayai dan menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik. Menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap. Mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Berusaha untuk meningkatkan diri, keluarga, masyarakat agama, bangsa dan negara. Elemen yang ketiga belas ialah rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Berfikiran waras dan berjiwa tenang. Mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup. Elemen keempat belas pula ialah rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Individu akan berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melaluisifat tolenrasi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat menghormati dan sebagainya. Berusaha untuk memajukan ekonomi negara berdasarkan dasr-dasar yang ditetapkan. Sering mengekalkan kestabilan politik dan keamanan negara, mematuhi perlembagaan dan peraturan negara. Mempertahankan maruah diri, profesion agama, bangsa dan negara.

Elemen yang kelima belas ialah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Individu mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi dan berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup. Elemen yang terakhir ialah sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Individu akan menjadikan Rukun Negara sebagai amalan hidup dan memupuk persefahaman keluarga. Mematuhi norma masyarakat dan cintakan negara.



3.0 IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA.

Elemen-elemen dan unsur-unsur penting dalam FPK ini memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara. Antara implikasi yang telah digariskan ialah FPK adalah satu dokumen rasmi yang menggariskan hasrat Kerajaan terhadap sistem pendidikan negara ini serta matlamat pendidikan dengan jelas. Oleh itu, kandungan FPK hendaklah dihayati dan diusahakan oleh kaum pendidikbagi memastikan Kerajaandan matlamat pendidikan tercapai. Dalam pada itu, amat penting agar FPK dijadikan satu garis panduan dan rujukan kaum pendidik semasa mereka melaksanakan tugas-tugas pendidikan serta fungsi-fungsi pendidikan masing-masing. Para pendidik juga hendaklah memainkan peranan katif dalam merealisasikan FPK. Dalam hal tersebut, mereka hendaklah bersifat terbuka terhadap perubahan yang pesat dalam bidang sains dan teknologi terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Sehubungan itu, mereka seharusnya bersedia untuk membina ilmu dan kemahiran-kemahiran baru berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, kemudian berani dan sanggup melaksanakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah bagi mata pelajaran yang diajar.

Selain itu, para pendidik perlu menyedari hakikat bahawa tugas dan tanggungjawab mereka bukan hanya terbatas dan tertumpu kepada penyampaian ilmu dan kemahiran sahaja. Malahan pembentukan modal insan itu juga perlu diberi perhatian yang serius. Adalah diharapkan agar generasi muda menjadi individu yang berkembang secara menyeluruh dan seterusnya berupaya menyumbangkan ilmu, kemahiran, masa dan tenaga mereka demi keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai rumusan, jelas terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang kepada FPK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab profesional mereka, sudah pasti matlamat dasar pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan hanya satu impian sahaja.
Falsafan Pendidikan Kebangsaan dapat membantu sekolah dalam proses mewujudkan sekolah berkesan. Sekolah rendah adalah tempat pendidikan awal anak-anak secara formal. Pada zaman moden ini, sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan kelengkapan pendidikan yang baik dan sempurna berbanding dengan rumah tangga dan keluarga. Di sekolah bermulanya pembinaan peribadi dan kecemerlangan seseorang pelajar. Menerusi pendidikan di sekolah, terdapat perancangan dan pelaksanaan aktiviti pendidikan yang tersusun rapi bagi mencipta kecemerlangan bagi setiap pelajar. Sekolah adalah tempat untuk kecemerlangan dan bukan untuk kegagalan.



4.0 PERANAN SEKOLAH DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)
4.1 Kepimpinan
Keberkesanan sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan disamping mewujudkan rasa kepuasan bekerja dalam sesebuah sekolah itu. Pengetua merupakan pengurus utama kepada sesebuah organisasi persekolahan. Sekiranya pengurusan dapat dilaksanakan dengan efektif dan cekap secara tidak langsung masalah di sekolah dapat diselesaikan dan ini membantu ke arah pembentukan sekolah berkesan. Kepimpinan sesebuah sekolah dapat dikaitkan dengan elemen penting dalan FPK iaitu rakyat Malaysia yang berketerampilan harus mempunyai kecekapan dan kompetensi serta berkebolehan untuk menjalankan tugas. Daripada kajian-kajian yang telah dilakukan mengenai sekolah berkesan dapatlah dirumuskan bahawa apa yang membezakan keberkesanan sesebuah sekolah dengan sebuah sekolah yang lain adalah kepimpinan pengetua. Pengetua ialah pemimpin teknikal yang seharusnya meminimumkan peranan sebagai jurutera pengurusan. Kepemimpinan seumpama ini ditumpukan kepada teknik pengurusan yang cekap dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan yang maksimum. Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan, pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan. Kejayaan kepimpinan sesebuah sekolah bermula dari pucuk pimpinannya. Pengetua sebagai pemimpin manusia. Dalam hal ini, pengetua memainkan peranan sebagai jurutera manusia. Maksudnya pengetua seharusnya mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia, dan perhubungan individu serta mampu menggerakkan stafnya. Ini selaras dengan matlamat FPK iaitu untuk melahirkan individu yang bersahsiah baik dan berketermapilan. Pengetua juga berperanan sebagai pemimpin simbolik. Dalam konteks ini pengetua meminimumkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu perkara yang hendak dicapai. Kepemimpinan seumpama ini termasuklah aktiviti seperti melawat bilik darjah dan kawasan sekolah, di samping cuba mengenali pelajar dengan lebih dekat. Organisasi yang baik di sesebuah sekolah dapat melancarkan perjalanan pentadbiran sekolah tersebut untuk melahirkan individu yang seimbang. Kepemimpinan budaya amat penting bagi mencapai kecemerlangan sekolah. Pengetua yang menjalankan peranan ini dapat dilihat menerusi usaha-usahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang unik.



4.2 Budaya Sekolah
Budaya sekolah di dapati merangkumi seluruh alam sekitar dan murid di sekolah. Alam sekitar yang menggalakkan dapat melahirkan kesan baik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta penghayatan nilai-nilai. Oleh yang demikian, usaha untuk pembentukan akhlak dan sahsiah murid dapat berjalan dengan licin serta efektif. Nilai murni pula adalah unsur yang amat penting dan akan diserapkan ke dalam setiap diri pelajar. Nilai-nilai murni bersifat sarwajagat dan adalah selaras dengan agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia. Nilai-nilai ini juga berteraskan kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan. Matlamat pihak kerajaan bagi melahirkan Modal Insan iaitu melahirkan insan yang bukan sahaja intelek dalam akedemik malahan mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik. Sekolah yang berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik. Setiap sekolah perlu membina iklim yang bersesuaian dengan matlamat dan persekitaran sekolah tersebut.
Budaya sekolah juga bermaksud personaliti atau keperibadian sekolah yang mempengaruhi cara sesuatu kerja itu dijalankan. Definisinya tentang bidang kuasa, peranan, tugas dan budaya diri membentuk satu rangka kerja yang dapat mempengaruhi atau mengubah budaya sekolah tersebut. Kecemerlangan sekolah ini adalah hasil transformasi yang telah dimulakan oleh pengurus sekolah yang terlebih dahulu dan kecemerlangannya masih dikekalkan hingga kini walaupun corak kepimpinan sekolah masih mengamalkan budaya kerja cemerlangan, seiring dengan hasrat mencemerlangkan pendidikan. Berdasarkan instrumen profil budaya sekolah, guru-guru dan pelajar mempunyai hubungan interpersonal yang lebih positif. Guru mempunyai semangat kekitaan terhadap sekolah dan bangga menjadi guru di sekolah tersebut. Mereka sentiasa memandang ke hadapan dalam usaha mereka dalam meningkatkan profesionalisme mereka. Pelajar-pelajar pula merasa seronok menjadi pelajar di sekolah itu.
Di sekolah juga pengajaran dan pembelajaran dianggap sangat penting oleh guru dan juga pelajar. Walaupun mereka mengamalkan panduan kurikulum yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan, guru dibenarkan menggunakan kreativiti semasa mengajar. Pelajar mengikuti aktiviti pengayaan mengikut keupayaan masing-masing. Guru di sekolah berkesan adalah inovatif dalam pengajaran dan amalan penilaian mereka. Pelajar dan guru disekolah akan merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dan guru berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut dalam keadaan yang sehabis baik. Konsep mengenai budaya sekolah telah ditakrifkan dengan pelbagai cara, tetapi pada keseluruhannya adalah dipersetujui umum bahawa budaya sesebuah sekolah itu merupakan perasaan atau gambaran suasana yang seolah-olah dapat dirasakan ketika seseorang itu berada di sekolah tersebut. Antara konsep tersebut ialah Guru merasa selesa, yakin dan puas. Guru tidak merasa tertekan atau bercelaru. Pengetua mempamirkan keyakinan diri, bijaksana dan berlaku adil. Pengetua mudah dibawa berbincang dan mempunyai fikiran yang terbuka. Pengetua merupakan seorang pemimpin yang baik, mampu membimbing kakitangannya serta memperkembang potensi mereka. Pelajar merasa bangga terhadap hasil kerja mereka dan terhadap sekolah mereka. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan antara pendidik sejajar dengan hasrat FPK.



4.3 Ko-kurikulum
Ko-kurikulum juga penting dalam merealisasikan FPK. Antara kepentingannya ialah untuk mewujudkan semangat kewarganegaraan dan semangat perpaduan. Apabila sesuatu aktiviti diadakan, penglibatan pelajar dari pelbagai bangsa dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Ko-kurikulum juga membantu untuk memaju dan mengembangkan bakat minat serta kemahiran murid. Sekolah yang aktif dalam bidang ko-kurikulum boleh membantu murid mengembangkan minat mereka dan mengasah bakat. Falsafah pendidikan kebabgsaan telah menggalakkan pelajar aktif dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Minat dan bakat murid yang diasah dan dibentuk boleh melahirkan individu yang berjaya serta membantu mengharumkan nama sekolah. Ko-kurikulum juga berperanan melatih murid mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Contohnya sekolah menganjurkan permainan kanak-kanak pada musim cuti sekolah. Aktiviti ini membolehkan pelajar mengisi masa cuti mereka di samping mengekalkan kesihatan yang baik. Selain itu, ko-kurikulum melatih murid dari segi ketahanan mental dan fizikal. Ini dapat mencapai hasrat FPK untuk melahirkan individu yang sihat dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Peranan sekolah dalam membentuk ko-kurikulum ialah memastikan penubuhan persatuan, kelab sukan dan permainan dan pasukan-pasukan unit-unit pakaian seragam. Sekolah juga perlu menentukan bahawa unit-unit ko-kurikulum itu berjalan dengan cergas, baik, teratur dan sempurna dengan susunan progaram yang lengkap, sesuai dan praktikal. Selain itu sekolah juga perlu menetukan perkembangan bakat dan potensi para pelajar dalam kegiatan ko-kurikulum saperti persatuan dan kelab, sukan dan permainan da juga unit berunifom.
Bidang ko-kurikulum perlu diberi kedudukan yang sewajarnya, di samping memerlukan komitmen yang jitu daripada penyertaan pelajar dan guru iaitu dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan minat masing-masing. Jadual waktu kegiatan ko-kurikulum perlu lebig fleksibel agar tidak membebankan murid. Kad ko-kurikulum adalah penting kerana dapat mengesan dan merekodkan pencapaian pelajar sepanjang tahun penglibatannya. Data ini menjadi kriteria pemberian anugerah, sijil dan gred pelajar. Penglibatan ibu bapa, guru dan murid boleh membantu dalam membangunkan dan memajukan sekolah melalui aktiviti ko-kurikulum.
Penyertaan maksima murid dan guru dalam aktiviti ko-kurikulum sememangnya boleh dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh oleh setiap warga sekolah. Cara dan tindakan yang sesuai perlu diambil agar murid atau guru boleh memberi sumbangan bermakna kepada sekolah. Sememangnya sokongan dan kerjasama semua pihak adalah penting dalam usaha menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.



4.4 Guru
Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh seseorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Guru berperanan sebagai tenaga pengajar dengan merancang aktiviti pelajar berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai. Guru juga sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dalam sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu, guru perlu menjadi contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar. Seperti dalam elemen FPK yang menyatakan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Elemen ini dapat dikaitkan dengan peranan guru yang berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan sebagainya. Dalam elemen ini juga guru perlu mempertahankan maruah diri dan profesion, agama, bangsa dan negara. Guru juga sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan dan Sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru ialah pendidik yang berilmu pengetahuan. Di samping itu dia dilatih untuk menguasai kemahiran mengajar, dan diberi tugas menyampaikan ilmu kepada pelajarnya. Oleh itu guru sebagai pengamal ilmu perlu memainkan peranan untuk menyampaikan ilmu yang berguna dalam bidangnya. Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut memiliki pelbagai pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan meningkatkan motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses belajar yang dibimbingnya berjaya secara optimal. Oleh kerana itu, guru perlu memahami dan menghayati serta menerapkan pelbagai prinsip dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan meningkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip dan teknik yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana di dalam usaha memotivasi pelajar sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan teknik yang paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang masa, dan untuk semua situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza keperibadian pelajar, dan berbeza keperibadian guru menuntut perbezaan prinsip dan teknik yang dipakai dalam memotivasi pelajar. Oleh kerana itu, perbezaan mata pelajaran, keperibadian pelajar dan keperibadian guru harus dipertimbangkan dalam memilih prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi pelajar.
Sebagai seorang pendidik yang bertanggunjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak. Perubahan perancangan hari ini adalah perlu diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan daripada perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru hari ini hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dari masa ke semasa.
Sekolah sebagai satu institusi masyarakat perlu mementingkan perkembangan dan perubahan tingkahlaku pelajar dan kehendak masyarakat. Justeru itu, persekolahan yang berorganisasi itu perlu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik, misalnya perkara-perkara yang berkaitan dengan moral. Oleh itu guru di sekolah perlu memainkan peranan sebagai agen memodenkan masyarakat dalam semua bidang perkembangan semasa dan kemajuan. Ini bermakna pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar serta membawa perubahan semasa.



4.5 Disiplin
Sejak kewujudan institusi persekolahan di negara ini, tiap-tiap buah sekolah sama ada sekolah menengah ataupun sekolah rendah perlu melantik seorang guru yang bertindak sebagai guru disiplin. Pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis. Sekolah yang berkesan mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang secara amnya adalah selesa untuk suasana proses pembelajaran. Untuk membentuk sekolah berkesan, pelajar-pelajar di sekolah berkenaan perlulah diterapkan dengan nilai-nilai murni. Nilai murni akan membentuk membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang dan seterusnya masalah disiplin di sekolah dapat diatasi. Ini kerana ada juga sesetengah pihak yang mengukur disiplin pelajar sebagai ukuran output sesuatu sekolah itu.
Tugas guru disiplin ini adalah untuk memastikan tiap-tiap pelajar di sekolah tersebut mengikut undang-undang yang ditetapkan. Pelajar-pelajar yang didapati melakukan kesalahan seperti salah laku pelajar iaitu datang lewat, tidak hadir ke sekolah, rambut panjang dan sebagainya sehinggalah kepada kesalahan yang berat seperti merokok dan menghisap dadah di bawah pemerhatian guru disiplin. Guru disiplin amat dihormati dan ditakuti oleh kebanyakan pelajar. Sekolah lebih memberi tumpuan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Hubungan yang rapat antara pihak sekolah dengan ibu bapa, guru dengan pelajar adalah penting. Guru perlu mendekati pelajar secara peribadi dan memahami masalah yang dihadapi oleh seseorang pelajar tersebut. Dengan cara ini pelajar merasakan mereka dihargai dan pihak sekolah sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan mereka. Oleh yang demikian pelajar yang bermasalah tidak segan untuk berbincang dengan guru mereka berkenaan masalah yang dihadapi. Keadan ini mengelakkan pelajar dari melepaskan masalah mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang booleh menjejaskan ketenteraman awam seperti salah laku jenayah dan gengsterisme. Di sekolah pula penguatkuasaan disiplin perlulah tegas dan berterusan. Usaha yang berterusan perlu dilakukan termasuk mengukuh, memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat peraturan dan pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan persekitaran dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu berkesan meliputi rekod individu pelajar, rekod pelanggaran disiplin serta hukuman dan ganjaran. Pengawalan displin perlu dilakukan secara bersepadu atau melalui kaedah permuafakatan dengan melibatkan semua kumpulan atau pihak iaitu sekolah, ibu bapa, masyarakat, kerajaan dan penguatkuasa undang-undang. Kerjasama perlu dibentuk melalui satu rangkaian yang jelas dan melibatkan pelbagai aktiviti seperti penyampaian dan penyaluran maklumat tentang disiplin yang melibatkan pelajar sekolah harian kepada pihak pengurusan sekolah dan pihak penguatkuasa undang-undang. Kerjasama dalam bentuk perancangan dan penyediaan pelan tindakan secara bersama berdasarkan kefahaman yang jelas untuk mencegah dan membasmi aktiviti geng dan samseng di kalangan pelajar. Aktiviti pengawalan dan tindakan bersama juga perlu bagi menghapus aktiviti-aktiviti gengster dan samseng di dalam sekolah khususnya tindakan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang dan disiplin. Elemen yang terkandung dalam FPK perlu didedahkan seperti unsur rohani yang membentuk pelajar supaya berakhlak mulia dan bersyukur dengan pemberia Tuhan. Pihak sekolah juga perlu melemahkan dan menghapuskan faktor-faktor penarik dan penolak yang mempenagruhi pelajar untuk terlibat dalam masalah disiplin dengan menjadikan sekolah sebagai faktor yang kuat untuk menarik semua kumpulan pelajar agar sayangkan sekolah dengan menyediakan sekolah dan persekitannya sebagai tempat yang kondusif dan seronok untuk belajar. Langkah seterusnya ialah mengawal jaringan aktiviti tidak berfaedah yang melibatkan pelajar dengan menyediakan pelan tindakan dan melaksanakannya secar bersama melalui tindakan berkesan. Antaranya pihak sekolah harus menentukan bahawa pelajar-pelajar tidak melepak sama ada dalam waktu persekolahan atau di luar waktu persekolahan kerana ini akan mendedah pelajar kepada pelbagai pengaruh yang tidak sihat. Selain itu pihak pengurusan sekolah perlu menyediakan satu sistem kawalan mencegah ahli-ahli kumpulan gengster dan samseng daripada menjadikan pelajar-pelajar sebagai mangsa dalam masa tiga waktu utama iaitu sebelum persekolahan, semasa rehat dan waktu selepas tamat sesi persekolahan harian.
5.0 RUMUSAN

Dunia yang semakin kompetetif sesungguhnya memerlukan keberkesanan diperingkat sekolah disebabkan Malaysia akan bertaraf antarabangsa dan memerlukan kepemimpinan yang berwibawa, teknologi bertambah canggih serta ragam manusia yang berbagai-bagai. Sememangnya Kementerian Pendidikan bertekad untuk melahirkan manusia insan kamil yang seimang pembangunan rohani, emosi, jasmani dan intelek sebagaimana yang dituntut oleh Falsafah Pendidikan Negara. Manusia beginilah yang nantinya berupaya mendokong Wawasan 2020. Untuk mencapai tahap yang dikatakan sekolah cemerlang dan berkesan dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bukanlah mudah. Mencapai tahap yang betul-betul sempurna dan ideal adalah sesuatu yang sukar kerana dalam proses mencapai sesuatu objektif, terdapat beberapa masalah atau kekangan yang perlu dihadapi. Salah satu faktor yang menghalang pengurusan yang cekap bagi membentuk sekolah berjaya ialah proses birokrasi. Tidak dapat dinafikan bahawa kawalan dari bahagian bahagian seperti Kementerian Pendidikan dan juga Jabatan Pendidikan Daerah adalah diperlukan untuk meningkatkan keupayaan sekolah. Pelbagai aspek perlu diberi perhatian. Contonya seperti kepimpinan sesebuah sekolah, budaya sekolah, ko-kurikulum yang mantap, peranan guru dan seterusnya pengawalan disiplin yang baik. Selain itu, Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membimbing dan mengasuh anak-anak mereka di rumah sebelum mereka dihantar ke sekolah atau keluar dari rumah agar mereka mempunyai ketahanan iman dan mental dalam menghadapi cabaran dan rintangan arus perdana globalisasi. Akhirnya dalam usaha membina keberkesanan sekolah, reformasi atau program pembaikan sekolah haruslah merupakan tindakan pembangunan dalaman sekolah. Sememangnya dalam pelaksanaan reformasi di sekolah, penglibatan setiap masyarakat sekolah amat penting, sungguhpun tugas utama sekolah dan guru berkaitan dengan pengajaran dan pelaksanaan kurikulum, namun usaha meningkatkan kemajuan sekolah perlu dihayati dan ditangani bersama demi membentuk sekolah yang berkesan dan merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment