Friday, July 03, 2009

kemerdekaan tanah melayu

Sejarah kemerdekaan

Semangat nasionalis sememangnya telah wujud di Tanah Melayu sejak abad kesembilan belas, dan menjelang abad kedua puluh lebih ramai pejuang-pejuang kemerdekaan muncul di seluruh tanah air. Semangat kebangsaan ini sedikit demi sedikit menular ke segenap pelosok Tanah Melayu. Setahun selepas Jepun menyerah kalah pada akhir Perang Dunia Kedua, lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malays National Organisation (UMNO), yang dipimpin oleh Dato' Onn bin Jaafar.

Penubuhan UMNO adalah hasil perpaduan bangsa Melayu - rakyat bersama raja - kerana menentang rancangan Malayan Union yang direncanakan oleh kerajaan British. Pelaksanaan Malayan Union akan menghapuskan segala tradisi (sistem politik, pentadbiran dan adat resam) serta sistem kerajaan semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Pada 1951, tampuk pimpinan UMNO diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Perlu juga disebut bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bukanlah perjuangan orang-orang Melayu semata-mata. Tanah Melayu ketika itu sudah menjadi kediaman pelbagai kelompok masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Walaupun orang-orang Melayu menguasai kepimpinan politik, pemimpin-pemimpin Melayu ini sedar akan struktur masyarakat Tanah Melayu yang ibarat aur dengan tebing. Mereka sedar, perjuangan kemerdekaan tanpa penyertaan kaum-kaum lain tidak akan berhasil. Mereka dapat melihat bahawa dalam jangka panjang, Tanah Melayu mesti ditadbir oleh warga sendiri, di bawah satu payung politik yang teguh dan kukuh. Jelaslah bahawa perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu merupakan perjuangan semua rakyat Tanah Melayu yang berbilang kaum.





Proses menuntut kemerdekaan

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan mengandungi empat wakil dari Parti Perikatan dan empat wakil dari Majlis Raja-Raja bertolak ke London, untuk membincangkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas tiga minggu mengadakan rundingan, pada 8 Februari Tunku menandatangani Perjanjian Kemerdekaan London. Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos tahun berikutnya. Sekembalinya Tunku dan rombongannya dari London, berita gembira itu telah disampaikan kepada orang ramai pada satu perhimpunan di Padang Merdeka, Bandar Hilir Melaka - bandar yang telah menyaksikan banyak penjajah datang dan pergi. Berita ini telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh semua penduduk Tanah Melayu.

Pada detik 12 malam 31 Ogos 1957, perjuangan menuntut kemerdekaan akhirnya membuahkan hasil, dan impian akhirnya menjadi kenyataan. Di Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka), bendera Union Jack diturunkan buat kali terakhir di bumi Tanah Melayu dan bendera Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh rasa syukur dan bangga. Pada esok harinya, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan disaksikan beribu-ribu warganegara, Raja-Raja Melayu, Duke of Gloucester (mewakili Ratu Elizabeth) serta wakil-wakil kerajaan British. Ini adalah satu detik yang sangat penting dalam sejarah tanahair - akhirnya penjajahan yang telah bertapak sejak tahun 1511 telah dapat dihapuskan.





Pengisytiharan kemerdekaan

Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan timbalannya Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia kini) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956. Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) turut ikut serta dalam perbincangan tersebut.

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh beberapa orang pemuda UMNO sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu. Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan. Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini. Kemudian, Perdama Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das. Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Antara barisan pertama Perwakilan Asing datang ke Tanah Melayu ialah:

• Raja dan Permaisuri Siam
• Putera dan Puteri Mahkota Jepun
• Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
• Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
• Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
• Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
• Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
• U Nu, Perdana Menteri Burma
• Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
• Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
• John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amarika Syarikat
• Duta Australia, Kanada dan New Zealand
• Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
• Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
• Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
• Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)

Kandungan Pemasyhuran Kemerdekaan




Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan (Pemasyhuran) Kemerdekaan

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis Jawi dan bahasa Inggeris.




Pemasyhuran kemerdekaan

PENGENALAN

Sejarah awal Malaysia

Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial. Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui di Selat Melaka. Penemuan beberapa tapak arkeologi Zaman Proto Sejarah membuktikan wujud petempatan pesisir pantai seawal abad ke-2 Masehi lagi. Ianya membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan penemepatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-14, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.

Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masehi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu. Penempatan terawal British di Malaysia bermula dengan pendudukan Pulau Balambangan pada tahun 1769 hasil dari perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Manakala penempatan Selat Koloni DiRaja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan Selat termasuk Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan persatuan sulit Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri negeri Melayu. Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang berada di bawah kuasa Thailand.

Di Borneo pula, Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu telah berada dibawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946 apabila ia ditabalkan sebagai Koloni Diraja British. Manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke sebelum dari itu. Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya dan masyarakat imigran. justeri British mewujudkan Malayan Union, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk semenanjung diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa Singapura.

Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.



Definisi negara

Negara adalah satu komuniti politik tersusun yang menakluki sesuatu kawasan dan mempunyai kedaulatan luaran dan dalaman yang boleh menguatkuasakan monopoli terhadap penggunaan kekerasan yang difikirkan wajar. Perkataan negara dalam maksud terkini biasanya merujuk kepada konsep yang lahir hasil Triti Wesphalia pada tahun 1648 yang memperkenalkan konsep moden negara nation-state (negara bangsa), berbanding negara empire-state (negara empayar) yang kuno. Contohnya, Persekutuan Malaysia dan Turki yang wujud sebagai nation-state pada hari ini berbanding empire-state empayar Melaka dan Turki Uthmanniyah yang kuno. Negara daripada aspek politik state biasanya digunakan dalam bidang sains politik.

Negara wujud sejak sekian lamanya daripada generasi-generasi terdahulunya lagi, dan yang telah meninggal pun dianggap ahli. Generasi masa depan juga dikira sebagai ahli. Tiada sesiapa yang meletakkan garisan masanya, tetapi satu negara secara biasanya beberapa abad lamanya wujud. Sebagai contoh, negara China telah dikatakan wujud selama 5,000 tahun. Perkara yang berlaku pada zaman silam juga diadili dalam konteks ini, contohnya dengan merujuk kepada "tentera kita" dalam konflik yang berlaku pada jauh di masa terdahulu. Perkataan negara seringkali menjadi sinonim kepada kumpulan etnik seperti bangsa dan budaya, kendatipun etnik adalah satu aspek penting identiti budaya atau identiti sosial untuk ahli kebanyakan negara, orang yang mempunyai asas etnik yang sama mungkin hidup di negara bangsa yang lain dan diperlakukan sebagai ahli negara lain oleh sebab ini. Identiti kebangsaan adalah pada lazimnya dipertikai, sehingga ke individu.

Satu negara politik yang yang mengatakan dirinya sebagai ibu kepada sebuah kelompok ahli negara adalah satu negara bangsa, dan kebanyakan negara politik menjadi sebahagian daripada katagori ini, walaupun adanya pertikaian ganas mengenasi legitimasi mereka. Dalam penggunaan harian, perkataan seperti rujukan negara sebagai satu kumpulan bangsa, atau negara politik, atau satu istilah geografi, serta penggunaan perkataan tanah mempunyai maksud yang hampir sama. Sebagai contoh, satu wilayah dibawah satu kerajaan berdaulat atau penduduk wilayah itu, atau kerajaan itu sendiri, dalam maksud lainnya, satu negara de jure atau de facto. Dalam maksud yang lebih tepat pula, perkataan seperti negara boleh dilihat daripada tiga aspek, iaitu dari aspek budaya atau bangsa, aspek politik atau aspek sesuatu kawasan geografi. Aspek-aspek ini lebih jelas dalam bahasa Inggeris dimana tiga perkataan berbeza, nation, state dan country wujud untuk setiap aspek ini.

Para saintis pada masa kini selalunya mengkaji empat konsep negara iaitu:

1. Negara sebagai kerajaan merupakan aktor dalam sendirinya. Dalam sesetengah pendekatan ini negara adalah aktor penggabungan pelbagai individu di mana kumpulan individu ini berinterkasi dengan kumpulan lain untuk memaksimakan kepentingan mereka sendiri
2. Negara adalah birokrasi awam dan orde undang-undang yang diinstitusikan. Teori pluralis mengenai negara menanggap bahawa negara adalah aktor-aktor politik berlainan dan kebaikan negara bergantung kepada pembahagian kuasa terhadap individul yang paling berperwakilan.
3. Negara adalah klas pemerintah (Teori Marxis negara). Dalam pendapat ini negara adalah distorsi kehidupan sosial kerana ia melayan kehendak klas pemerintah dengan menggalakkan eksploitasi dari manusia keatas manusia.
4. Negara adalah orde norma (Teori simbolik dan budaya negara). Pada amnya, pendapat ini mengatakan bahawa negara adalah hasil norma, budaya dan expresi moral kehidupan sosial.




Erti kemerdekaan

Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat. Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu.

Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme. Kemerdekaan boleh diperoleh melalui penyahjajahan, pemisahan atau pembahagian. Walaupun ketiga-tiga ini sering berbetulan dengan kemerdekaan, ketiga-ketiga ini harus tidak dikelirukan dengan pemberontakan yang biasanya merujuk kepada penggulingan pihak berkuasa secara ganas. Ini kekadang hanya bertujuan untuk pengagihan semula kuasa dengan atau tanpa unsur pembebasan seperti dalam kes pendemokrasian di dalam sebuah negara dan oleh itu, bentuk negara itu tidak berubah. Umpamanya, Revolusi Oktober Rusia tidak bertujuan untuk memperoleh kemerdekaan negara; sebaliknya Perang Revolusi Amerika Syarikat bertujuan sedemikian.

Terdapat banyak sebab mengapa sebuah negara atau wilayah hendak menuntut kemerdekaan. Kekecewaan terhadap pihak berkuasa merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh gerakan-gerakan pengikut faham pemisahan, tetapi kesusahan ekonomi biasanya adalah yang mencetuskan tindakan gerakan-gerakan ini. Cara untuk menuntut kemerdekaan berbeza-beza dari tunjuk perasaan yang aman ke perang saudara yang ganas. Tarikh kemerdekaan (atau kekadangnya permulaan pemberontakan) biasanya dirayakan sebagai hari kelepasan negara yang dikenali sebagai hari kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment