Friday, July 03, 2009

modal insan

TEKS UCAPAN

MEMBANGUNKAN MODAL INSAN


Anak dara menganyam rotan,
Tersenyum simpul memegang sanggul,
Modal insan pemangkin kajayaan,
Malaysia maju terus unggul.

Bismilah-ir Rahman-ir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terima kasih tuan Pengacara Majlis, Yang Berhormat, Pengarah Pendidikan Guru, Pegawai-Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, seterusnya rakan-rakan pengetua sekalian. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan taufik dan hidayah-Nya dapat kita sama-sama meraikan Hari Guru pada tahun ini. Sebagai seorang guru dan juga rakyat Negara Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana setiap tahun kita dapat menyambut hari yang bermakna ini dengan aman dan meriah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Sebagai ahli kepada keluarga besar warga pendidik, setiap daripada kita yang bergelar guru pada hari ini perlu bermuhasabah diri, menilai apakah tahap komitmen kita dalam melaksanakan tanggungjawab, sejauh mana iltizam kita dalam menjunjung imej dan kedudukan profesion ini, dan seterusnya adakah sumbangan kita memadai untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang sedang dan akan dicipta oleh profesion keguruan pada era ini. Peredaran masa membawa bersama pelbagai tuntutan dan cabaran baru. Atas kesedaran itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menggubal Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. PIPP merupakan satu dokumen perancangan pembangunan pendidikan yang bersepadu, komprehensif dan menyeluruh tidak tertumpu pada satu jenis sekolah, lokasi dan kaum. Terdapat enam teras yang perlu dilaksanankan. Antaranya ialah membangunkan modal insan.

Modal insan mempunyai dimensi yang luas iaitu daripada aspek individu, masyarakat dan ekonomi. Pembangunan modal insan bertujuan untuk memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran yang tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020. Tugas KPM adalah untuk menyediakan generasi muda Malaysia dengan seluas-luas pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Modal insan yang ingin dilahirkan akhirnya berupaya untuk berfikir kreatif dan kritis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Fokus dan Strategi Pelaksanaan Membangunkan Modal Insan tertumpu kepada usaha untuk mengadakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa dan pelajar dengan meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran mata pelajaran dan pengkhususan, meningkatkan peruntukan belanja mengurus kepada Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan, meneruskan pendaftaran Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri di seluruh negara dan memantapkan lagi pelaksanaan Mata Pelajaran Vokasional di sekolah-sekolah. Fokus lain juga ialah untuk meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan dengan mengkaji pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) supaya lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi, memupuk budaya cintakan ilmu pengetahuan dan melaksanakan program pembestarian sekolah. Selain itu, PIPP memberi fokus terhadap cara memupuk pelajar memiliki kemahiran dan keterampilan dengan melengkapkan diri pelajar dengan pelbagai kemahiran ’hard & soft skills’ , membina penampilan diri yang positif, memupuk pelajar menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, budi bahasa dan adab, menekankan aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan (3K) dalam pengajaran dan pembelajaran aktiviti kokurikulum. Fokus juga diberi terhadap usaha untuk memantapkan Program Kokurikulum dan Sukan dengan menambah baik aktiviti sukan dan kokurikulum, meningkatkan semangat patriotik dengan memastikan Rukun Negara dipelajari dan dihayati bermula daripada peringkat awal persekolahan, memperkasakan sukan di sekolah ke arah sukan untuk semua, menggalakkan penglibatan pelajar yang lebih menyeluruh dalam aktiviti kokurikulum, memantapkan program keguruan dalam kokurikulum dan sukan serta kejurulatihan, menyediakan infrastruktur dan peralatan yang lebih lengkap di sekolah, pusat kokurikulum, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dan seterusnya meningkatkan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kementerian dan pihak luar Kementerian Pelajaran Malaysia

Pertumbuhan ekonomi negara amat bergantung kepada modal insan terutamanya dalam proses Malaysia mencapai status negara maju. Menyedari kepentingan ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan terus berusaha menggembleng tenaga dengan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk membangunkan modal insan yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik tetapi memiliki nilai-nilai insaniah. Akhir kata, semoga khidmat bakti para guru sekalian diberkati dan diberi pembalasan yang seadil-adilnya daripada Allah SWT. Bersempena dengan Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara, tidak ada perkataan yang lebih wajar dan bermakna untuk diucapkan selain ucapan ikhlas daripada saya, Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu.
Sekian.
Wabillahi Taufik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment